Friday, 7 November 2014

SISTEM NILAI DAN PARADIGMA SEORANG PENGKHIANAT MELIHAT NILAI “WANG RINGGIT” LEBIH BESAR DARIPADA NILAI “SEBUAH KEBENARAN”!


“Marilah kita bercakap hai kamu orang yang terbijak, betapun buruknya. Berdiam diri adalah lebih buruk. Semua kebenaran yang tidak terucap akan menjadi racun yang berbisa”. – Friedrich Wilhelm Nietzsche (Ahli Falsafah)

Sarawak telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963. Manakala Sabah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963. Kedua-dua wilayah ini telah wujud sebagai ‘Negara’, berstatus ‘Negara’, berkerajaan sendiri ,berkabinet sendiri dan memerintah sendiri sebagai ‘Negara Merdeka’! Walau bagaimanapun, status taraf, hak dan kuasa Sabah dan Sarawak sebagai ‘Negara’ telah diragut,dicabuli dan dinodai oleh neokolonialisme (penjajah baharu), iaitu Malaya yang berselindung dan bertopeng disebalik nama dan konsep ‘Sistem Kerajaan Persekutuan’, ‘KerajaanPersekutuan’, ‘Persekutuan Malaysia’ dan ‘Perjanjian Malaysia 1963’!

Mengikut analisis sumber sejarah, ‘Kepimpinan Kerajaan Malaya’ telah merancang segalanya seawal tahun 60an, iaitu penipuan yang “terancang dan teliti” melalui “Gagasan Malaysia”, sehingga kemuncaknya bermula pada tahun 1963, kemudian semakin jelas pada tahun 1976. Aspek-aspek perundangan dan jaminan-jaminan hak dan kuasa Sabah dan Sarawak dalam ‘Persekutuan Malaysia’ satu persatu telah dihakis, dipinda atau dimansuhkan oleh ‘Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya’ melalui pemimpin dan kerajaan proksi dan boneka di Sabah dan Sarawak. Bagi Negara Sabah, tahun 1976 merupakan “Tahun Yang Sangat Malang”, kerana tiga peristiwa penting berlaku tanpa sebarang kemampuan daripada pemimpin dan rakyat Sabah untuk menghalangnya.

Tiga peristiwa tersebut adalah:

i) Pada 06. 06. 1976 “Tragedi Double Six”, iaitu Nahas Kapal Nomad yang dinaiki oleh pemimpin utama Kabinet Negara Sabah telah meletup di udara! Hasil forensiknya ada dan masih tersimpan di tangan kerajaan Australia sehingga hari ini. Tetapi kes ini telah sengaja dirahsiakan malah ditutup ketat dengan kanun ‘Akta Hasutan’ dan I.S.A.

ii) 14. 06. 1976, hasil minyak Sabah sebanyak 95% telah diserahkan kepada “Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya” melalui syarikatnya Petronas, dan selebihnya 5% dengan penuh bangga dan bersyukur Sabah/Sarawak menikmatinya.

iii) Pada 27. 08. 1976, Negara Sabah telah diturunkan status ”Negara” kepada taraf “Negeri”. Maka sejak itu, kedua negara ini, iaitu Negara Sabah & Negara Sarawak adalah sama taraf dan haknya dengan 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Malayu! Maka relevanlah “Perlembagaan Persekutuan Tanah Malayu” yang dibuat pada tahun 1957 untuk semua negeri, tanpa ada “Perlembagaan Khas” yang dibuat selepas Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Selepas “Tragedi Double Six”, adapun sebilangan pemimpin dan rakyat Sabah yang sedar dan faham akan penjajahan Malaya, namun mereka hanya mampu berputih mata, membiarkan ‘Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya’ menjajah Sabah dan Sarawak. Kerana mahu menyelamatkan kedudukan parti dan kedudukan jawatan, mereka mengambil sikap berdiam diri. Mereka membisukan mulut mereka yang tidak bisu, membutakan mata mereka yang tidak buta, memekakkan telinga mereka yang tidak pekak, dan menjahilkan minda mereka yang tidak jahil!

Mereka sanggup diperalat dan dieksploitasi, dijadikan perkakas politik ‘Kepimpinan BN-UMNO Malaya’. Mereka sanggup menjadi Pak Bisu, Pak Angguk, Pak Unta dan Pak Hamba kepada ‘Kepimpinan BN-UMNO Malaya’. Bahkan mereka sanggup mengkhianati bangsa sendiri dengan pelbagai cara yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun seperti melucutkan jawatan, mendiskriminasi bantuan-bantuan dan tidak memberi apa-apa projek pembangunan di kawasan yang berkenaan.

Sebaliknya, sepanjang masa mereka bersekongkol dengan Rejim BN-UMNO untuk menjajah Sabah dan Sarawak. Mereka merampas tanah-tanah kampung dan tanah-tanah NCR milik masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak. Mereka merasuah rakyat dengan material-material yang tidak dapat mengubah taraf hidup seperti tangki biru dan BR1M! Dan paling malang, mereka turut memanipulasi dan menafikan kebenaran fakta sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak. Semua ini berlaku kerana sistem nilai dan paradigma mereka melihat bahawa nilai “wang ringgit”, “kuasa” dan “kedudukan jawatan” lebih besar daripada nilai “sebuah kebenaran”!

Bermula 16 September 1963 dan sehingga kini (2014), Sabah dan Sarawak telah mengalami banyak kerosakan! Kerosakan pada sistem politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan, demografi, tanah dan khazanah warisan Sabah dan Sarawak! Kerosakan pada aspek keselamatan, kedaulatan, dan kuasa kemerdekaan Sabah dan Sarawak!

Sabah terutamanya, telah dibebani dengan seribu satu macam masalah! Masalah kebanjiran Warga Asing/ PTI, Projek IC, Projek Kewarganegaraan Songsang, Projek Pengundi Hantu, Projek Pengundi Disewa beli, Projek Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya, dan yang terbaru “Projek Sijil Lahir”! Sabah dan Sarawak juga dibebani dengan masalah kemiskinan dan kemunduran melampau! Dalam tempoh 51 tahun, masih banyak tempat di Sabah dan Sarawak yang tidak ada bekalan elektrik, bekalan air bersih, sistem perhubungan jalan raya dan perumahan rakyat yang serba daif dan usang! Bangunan-bangunan sekolah, rumah guru dan klinik desa yang daif dan usang! Hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry –RCI) berkaitan “Projek IC” dan “Kebanjiran Warga Asing/ PTI” juga belum didedahkan kepada rakyat!

Sumber kekayaan Sabah dan Sarawak seperti minyak, gas dan hasil-hasil cukai tahunan Sabah dan Sarawak diangkut ke Malaya! Tanah-tanah pertanian yang luas, rata dan subur di Sabah dan Sarawak telah habis diteroka dan dihakmilikkan kepada syarikat-syarikat kapitalis dari Malaya! Tanah-tanah perkampungan dan tanah-tanah NCR milik masyarakat peribumi dirampas oleh syarikat-syarikat kapitalis dari Malaya! Sementara masyarakat peribumi dihalau dan menjadi pelarian di bumi sendiri! Rumah, tanam-tanaman dan kuburan milik masyarakat peribumi diradu dengan jentolak!

Peluang-peluang pekerjaan dan perjawatan di jabatan dan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak dikuasai dan dimonopoli pegawai dari Malaya! Peluang-peluang pekerjaan dan perjawatan di sektor swasta seperti perkilangan, perladangan, syarikat, pusat membeli belah, stesen minyak , perikanan, pasar, tapak binaan dan sebagainya dikuasai Warga Asing/ PTI! Tender-tender projek mega dikuasai dan dimonopoli oleh kontraktor-kontraktor pemimpin-pemimpin dan kroni BN-UMNO!

Kenaikan harga bahan api (minyak dan gas), telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan, kos barangan dan perkhidmatan, serta kenaikan kos sara hidup! Kenaikan dalam kos pengangkutan, barangan, perkhidmatan dan kos sara hidup yang tinggi di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan Dasar Kabotaj (Carbotage Policy) Malaya yang dipaksakan ke atas Sabah dan Sarawak! Kini "Kerajaan BN-UMNO" menjerut leher rakyat lagi dengan cukai GST!

Kos pengangkutan, kos barangan, kos perkhidmatan dan kos sara hidup yang tinggi serta kedaifan sistem pengangkutan di Sabah dan Sarawak telah menyebabkan pelabur tempatan dan pelabur dari luar negara tidak berminat dan enggan melabur di Sabah dan Sarawak! Justeru, projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak adalah projek-projek pembangunan ikan bilis yang tidak membawa impak kepada proses urbanisasi dan pembandaran mega berbanding di Malaya.

Sebab itu, selain faktor penjajahan politik dan penjajahan ekonomi (pengaliran sumber-sumber kekayaan Sabah dan Sarawak ke Malaya), faktor kos yang berpunca daripada Dasar Kabotaj (Carbotage Policy) ini telah menyebabkan tahap pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 51 tahun, sangat perlahan dan agak terencat!

Keadaan keselamatan di Sabah juga amat membimbangkan! Kebanjiran lebih 1.72 juta Warga Asing/ PTI di Sabah (Statistik penduduk Sabah 2006-2010) telah mengatasi populasi warga tulen Sabah yang baru berjumlah 1.5 juta. Dianggarkan lebih 1 juta daripada Warga Asing/ PTI ini telahpun memiliki dokumen MyKad dan berdaftar sebagai pengundi! Kebanjiran Warga Asing/ PTI ini bukan sahaja telah mengubah demografi, landskap politik, landskap ekonomi, landskap sosiobudaya, tetapi telah mengancam keselamatan dan seterusnya telah meletakkan Sabah dalam situasi pengambilalihan songsang kedaulatan (Reverse takeover) yang amat kritikal! Kebanjiran Warga Asing/PTI yang tidak berkesudahan di Sabah umpama penularan penyakit barah (kanser) yang tidak akan dapat diubati lagi. Kebanjiran Warga Asing/ PTI ke Sabah umpama api dalam sekam, membakar Sabah dan rakyat Sabah perlahan-lahan!

Justeru, untuk menyelesaikan masalah-masalah di atas, Sabah dan Sarawak perlu mengembalikan semula status “Negara” yang telah dilucutkan oleh “Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya”! Sabah dan Sarawak mesti mengembalikan kuasa kemerdekaan yang telah hilang! Rakyat Sabah dan Sarawak mesti mengurus dan menentukan sendiri sistem politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan agenda pembangunannya sendiri! Justeru, ‘Kepimpinan Sabah dan Sarawak’ mesti membawa kes kedudukan Sabah dan Sarawak ini ke Mahkamah Antarabangsa dan PBB!

Sabah dan Sarawak memerlukan sumber manusia (insan) kelas pertama yang berjiwa bebas dan merdeka! Berjiwa pahlawan, memilki keberanian, nasionalisme, jati diri dan daya saing dalam pentas dunia globalisasi! Rakyat Sabah dan Sarawak mesti menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran tahap tinggi, menguasai sains dan teknologi, falsafah, undang-undang serta peradaban dunia antarabangsa. Rakyat Sabah mesti menguasai ekonomi dengan mempelajari dunia perniagaan dan perdagangan. Rakyat Sabah mesti menguasai ilmu kesenian, warisan kebudayaan dan khazanah alam.

Rakyat Sabah mesti membina budaya dan etika kerja berimpak tinggi, dengan disiplin, kejujuran, amanah, tanggungjawab dan integriti tahap tinggi. Rakyat Sabah dan Sarawak mesti mengubah dan mentransformasi cara berfikir untuk menghasilkan lebih banyak penerokaan dan inovasi dalam pengurusan dan kepemimpinan, serta rekacipta baru yang membawa impak kepada pembangunan dan kemajuan Sabah dan Sarawak.

Dan untuk kekal relevan dalam peta dunia, Sabah dan Sarawak perlu berani berubah dan mengubah! Sabah dan Sarawak perlu memasuki era baru yang dipanggil “Era Rennaissance Sabah-Sarawak”, “Era Reformasi dan Transformasi Sabah dan Sarawak”, “Era Revolusi Perindustrian Sabah dan Sarawak”, “Era Digital Sabah dan Sarawak”, dan “Era Revolusi Minda Sabah dan Sarawak”!


Monday, 9 June 2014



MACAM MANA (SABAH DAN SARAWAK) KELUAR DARI MALAYSIA, SEDANGKAN SABAH (NORTH BORNEO) DAN SARAWAK TIDAK PERNAH MASUK MALAYSIA? ADAKAH KEPALA OTAK RAHMAN DAHLAN SUDAH MIRING MACAM TIMBANGAN DACING BN-UMNO MIRING..!


Fakta sejarah, Sabah (North Borneo), Sarawak, Singapura dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) bersetuju bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 tertakluk dan berasaskan kepada Perjanjian 20 Perkara (Sabah), Perjanjian 18 Perkara (Sarawak) dan Perjanjian Malaysia 1963, dan berdasarkan idealisme dan konsep 'Rakan Kongsi Sama Taraf'. Dengan kata lain, kuasa autonomi Sabah (North Borneo), Sarawak, Singapura dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) adalah sama, menyamai formula matematik, iaitu 1:1:1:1.  Dan selepas Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia oleh Malaya tanpa pengetahuan dan persetujuan Sabah dan Sarawak pada 1965, maka Perjanjian Malaysia 1963 itu sebenarnya sudah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya!

Seluruh dunia mengetahui bahawa sejak tahun 1965, tidak ada pengemaskinian atau referendum semula terhadap Perjanjian Malaysia 1963! Justeru, Sabah (North Borneo), Sarawak dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) sebenarnya kembali kepada entiti asal, iaitu masing-masing berdiri dan wujud sebagai negara merdeka dan berdaulat tanpa  campur tangan antara wilayah, dan tanpa perubahan dari segi identiti atau taraf negara masing-masing! 

Jika Sabah (North Borneo) dan Sarawak mengambil keputusan untuk terus kekal dalam Persekutuan Malaysia tanpa Singapura, maka itu adalah budi bicara dan keputusan Sabah (North Borneo) dan Sarawak. Dan nisbah kuasa antara Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) sepatutnya 1:1:1 !!! Demikian juga sekiranya Sabah (North Borneo) dan Sarawak mengambil keputusan untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia, maka tidak ada  perundangan yang boleh menghalang Sabah (North Borneo) dan Sarawak daripada berbuat demikian. Hal ini kerana, apa bila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, secara automatiknya Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah dan terbatal. Dan sejak tahun 1965 Persekutuan Malaysia juga sebenarnya sudah tidak wujud!

Demikian juga halnya dengan Perkara 7 dalam Perjanjian 20 Perkara, iaitu perkara tentang 'Hak Pemisahan', secara automatiknya tidak relevan dan tidak ada keperluan untuk menguatkuasakan Perkara 7. Hal ini kerana Perkara 7 dalam Perjanjian 20 hanya wujud apabila tercapainya keputusan muktamad untuk bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Jika Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah, dan Persekutuan Malaysia tidak wujud, maka adakah menjadi kesalahan kepada mana-mana rakyat Sabah dan Sarawak jika mereka mengeluarkan kenyataan dan pengisytiharan keluar dari Persekutuan Malaysia? Rakyat Sabah dan Sarawak hanya boleh disabitkan dibawah Akta Hasutan hanya apabila Sabah dan Sarawak dianggap dan diperlakukan sebagai tanah jajahan Malaya!

Justeru, mengulas kenyataan Abdul Rahman Dahlan dalam The Malaysian Insider yang menggesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menghasut rakyat Sabah keluar dari Malaysia, kenyataan beliau itu amat mengelirukan dan melucukan rakyat Sabah dan Sarawak! Soalannya, bagaimana Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, sedangkan Sabah dan Sarawak tidak pernah masuk Malaysia? Jika Sabah dan Sarawak tidak pernah masuk Malaysia, maka adakah menjadi satu kesalahan jika Sabah dan Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia jika Perjanjian 20 Perkara (Sabah), Perjanjian 18 Perkara (Sarawak) dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak dipatuhi dan tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di Malaya?

Konsep Malaysia

Malaysia ialah nama bagi persekutuan baru, merujuk kepada gabungan empat buah negara, iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah). Kesemua wilayah ini mempunyai tarikh kemerdekaan sendiri yakni:-

a. Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) – 31 Ogos 1957
b. Singapura – 3 Jun 1959
c. Sarawak – 22 Julai 1963
d. Sabah – 31 Ogos 1963


Pada 9 Julai 1963, Perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London oleh wakil Persekutuan Tanah Melayu (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), Singapura (Lee Kuan Yew), Sarawak (Stephen Kalong Ningkan), Sabah (Donald Stephens) dan British. Manakala pada 16 September 1963, pengisytiharan Malaysia telah dilakukan di Jesselton (Kota Kinabalu).

Konsep Asal Malaysia

Konsep asal pembentukan Malaysia adalah sebagai rakan kongsi yang sama taraf. Ini bermakna Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tidak sekali-kali sama taraf dengan negeri-negeri lain di bawah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) iaitu seperti Kelantan, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan sebagainya. Hal ini sering kali dinyatakan oleh Tunku dan pemimpin British yang telah menyakinkan pemimpin Borneo Utara (Sabah) bahawa haknya atau identitinya terus terpelihara. Di antara kata-kata mereka adalah:

“Dari mulanya, adalah suatu syarat yang diperlukan bahawa Malaysia seharusnya dianggap oleh semua pihak yang berkenaan sebagai satu penggabungan ahli-ahli kongsi, dan bergabung untuk kepentingan bersama untuk menubuhkan satu negara baru tetapi masih mengekalkan hak-hak dan identiti sendirinya.” – Lord Cobbold, Chairman, Cobbold Commission (Laporan Suruhanjaya Cobbold)

“Hari penjajahan sudah berakhir dan bukan hasrat Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) untuk meneruskan penjajahan. Apabila Wilayah Borneo menjadi sebahagian Malaysia, ia bukan dijajah tetapi menjadi sebagai ‘Rakan Kongsi Sama Taraf’..” – Tunku Abdul Rahman Al Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Straits Times, 2 Oktober 1962

Oleh itu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah empat buah negara yang berdaulat telah bergabung membentuk suatu persekutuan iaitu Persekutuan Malaysia.

Model Persekutuan Malaysia sebenarnya diilhamkan daripada pembentukan United Kingdom yang diwakili oleh England, Scotland dan Wales dengan Northern Ireland. Bermakna United Kingdom yang mengamalkan sistem pemerintahan Constitutional Monarchy mempunyai empat wilayah utama di bawah satu Raja iaitu Queen Elizabeth. Keempat wilayah ini mempunyai kuasa autonomi sendiri:-

 1. Gabungan UNITED KINGDOM OF GREAT BRITAIN AND NORTHERN IRELAND terdiri dari gabungan empat wilayah iaitu; Northern Ireland, England, Scotland dan Wales. Walaupun keempat wilayah ini terletak di bawah seorang raja iaitu Queen Elizabeth, mereka mengekalkan identiti sendiri, mempunyai kuasa autonomi sendiri dan mentadbir sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam gabungan ini.

2. Gabungan PERSEKUTUAN MALAYSIA terdiri dari gabungan empat wilayah iaitu; Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Pada asalnya, keempat wilayah ini dijanjikan sebagai rakan sama rata dan mengekalkan identiti masing-masing di bawah seorang raja iaitu Yang DiPertuan Agong. Malangnya setelah Singapura disingkirkan dari Malaysia tanpa merujuk kepada Sabah dan Sarawak, kedudukan Sabah dan Sarawak telah diturunkan taraf kepada salah satu dari 13 buah negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan berada sama taraf dengan kesemua 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani oleh 5 wakil iaitu wakil Kerajaan British, Kerajaan Tanah Melayu (Malaya), Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura. Bermakna 4 wilayah yang merdeka sebagai sebuah negara berdaulat ini telah bersetuju membentuk sebuah gabungan yang dikenali sebagai Malaysia. Dengan kata lain Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura adalah Negara dalam Malaysia yang mana Seri Paduka Yang DiPertuan Agong sebagai lambang sistem demokrasi Raja Berperlembagaan dengan setiap wilayah mengekalkan identiti dan berkuasa mentadbir sendiri. Kedaulatan Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak dalam perjanjian Pembentukan Malaysia ini dikuatkan lagi dengan syarat 20-PERKARA bagi Borneo Utara (Sabah) dan 18-PERKARA bagi Sarawak yang meliputi antaranya soal Imigresen, Perkhidmatan Awam, Kewarganegaraan, Tarif/ Cukai/ Kewangan, Hak Anak Negeri dan Sistem Pelajaran.

Konsep asal Malaysia adalah empat buah negara berdaulat bergabung sebagai rakan sama taraf (Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Singapura). Dengan konsep sebagai rakan sama taraf ini, Sabah dan Sarawak ditadbir oleh Menteri Kabinet Negeri seperti juga dengan Menteri Kabinet Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). Manakala negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ditadbir oleh EXCO Kerajaan Negeri. Sabah pula diketuai oleh Yang DiPertua Negara. Sedutan dari Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, Artikel 20(1), menyatakan bahawa Ketua Negeri Sabah adalah Yang DiPertua Negara.

Mengulas kenyataan Abdul Rahman Dahlan dalam The Malaysian Insider, isu pokok dan akar kepada segala masalah politik sekarang adalah disebabkan oleh pengkhianatan dan pelanggaran terhadap Perjanjian 20 Perkara (Sabah), Perjanjian 18 Perkara (Sarawak), Perjanjian Malaysia 1963, dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan! Siapa yang mengkhianati perjanjian tersebut? Mengapa mereka tidak disiasat dan diambil tindakan undang-undang? Mengapa perjanjian-perjanjian tersebut tidak dilaksana, sedangkan perjanjian tersebut telah dipersetujui ketika North Borneo (Sabah), Sarawak, Singapura dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963?

Rakyat posting sesuatu isu dalam laman sosial setelah semua saluran media massa dam media elektronik dikawal sepenuhnya oleh kerajaan! Dan rakyat membuat posting dalam laman sosial adalah untuk memberi penjelasan, kefahaman, kesedaran, pengetahuan dan pendidikan kepada rakyat tentang sesuatu perkara, bukannya menghasut! Jika seseorang menyuarakan sesuatu perkara berkaitan hak, kebenaran dan keadilan yang perlu dituntut, adakah itu bermakna mereka menghasut? Adakah Rahman Dahlan mahu semua rakyat buta, pekak, bisu dan jahil? Adakah Rahman Dahlan mahu semua rakyat Sabah ikut telunjuk pemimpin-pemimpin BN-UMNO yang sudah jadi Pak Angguk, Pak Turut, Pak Tiong, Pak Kalabau, Pak Bisu, Pak Pekak, Pak Buta, Pak Unta dan Pak Hamba kepada kepimpinan BN-UMNO di Malaya? Adakah Rahman Dahlan berfikir bahawa semua rakyat Sabah dan Sarawak bodoh dan boleh dibisukan?

Adakah tindakan seseorang memberi penjelasan, kefahaman, kesedaran, pengetahuan dan pendidikan kepada rakyat tentang sejarah kenegaraan, tentang hak, kebenaran dan keadilan yang perlu dituntut itu berbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara? ATAU menternak dan memelihara lebih 1.72 juta Warga Asing/ PTI dengan memberi Kad Pengenalan melalui ‘Projek IC’ dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi bagi mengundi parti tertentu itu lebih berbahaya dan mengancam keselamatan negara? Mengapa petualang dan pengkhianat negara yang membuat ‘Projek IC’ tidak diambil tindakan undang-undang? Bukankah petualang dan pengkhianat negara ini sudah dikenali? Adakah kerana mereka ahli UMNO, menyokong UMNO dan pengundi UMNO?

Abdul Rahman Dahlan berkata, 

"Kita kena ingat bahawa sejarah sudah terpahat bahawa Persekutuan Malaysia ini telah dipersetujui oleh pejuang kemerdekaan kita terdahulu dan saya kira tidak betul dan tidak harus ia dirungkai semula sehingga menyebabkan kita berpecah."

Perjanjian 20 Perkara (Sabah), Perjanjian 18 Perkara (Sarawak) dan Perjanjian Malaysia 1963 adalah perjanjian dan syarat minima yang ditetapkan oleh Sabah dan Sarawak sebelum bersetuju bergabung dengan Malaya dan Singapura untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963! Dan perjanjian itu sudah menjadi fakta sejarah dan dokumen perlembagaan! Justeru, mengapa pihak yang mengkhianati perjanjian itu tidak dianggap berbahaya dan mengancam keselamatan negara? Mengapa mereka tidak diambil tindakan undang-undang kerana memungkiri dan mengkhianati perjanjian?

Bukankah pelanggaran terhadap perjanjian itulah yang sebenarnya lebih berbahaya, mengancam keselamatan negara dan menyebabkan perpecahan wilayah dan perpecahan rakyat? Dan bukankah pengkhianat terhadap perjanjian itulah yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik Sabah dan menyebabkan konfrontasi politik berpanjangan antara Sabah dan Malaya sekarang? Bukankah isu pokok dan akar kepada segala permasalahan politik sekarang adalah disebabkan oleh ketidakjujuran, kecurangan, manipulasi dan penipuan pemimpin-pemimpin BN-UMNO terhadap perjanjian tersebut?