Friday, 7 November 2014

SISTEM NILAI DAN PARADIGMA SEORANG PENGKHIANAT MELIHAT NILAI “WANG RINGGIT” LEBIH BESAR DARIPADA NILAI “SEBUAH KEBENARAN”!


“Marilah kita bercakap hai kamu orang yang terbijak, betapun buruknya. Berdiam diri adalah lebih buruk. Semua kebenaran yang tidak terucap akan menjadi racun yang berbisa”. – Friedrich Wilhelm Nietzsche (Ahli Falsafah)

Sarawak telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963. Manakala Sabah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963. Kedua-dua wilayah ini telah wujud sebagai ‘Negara’, berstatus ‘Negara’, berkerajaan sendiri ,berkabinet sendiri dan memerintah sendiri sebagai ‘Negara Merdeka’! Walau bagaimanapun, status taraf, hak dan kuasa Sabah dan Sarawak sebagai ‘Negara’ telah diragut,dicabuli dan dinodai oleh neokolonialisme (penjajah baharu), iaitu Malaya yang berselindung dan bertopeng disebalik nama dan konsep ‘Sistem Kerajaan Persekutuan’, ‘KerajaanPersekutuan’, ‘Persekutuan Malaysia’ dan ‘Perjanjian Malaysia 1963’!

Mengikut analisis sumber sejarah, ‘Kepimpinan Kerajaan Malaya’ telah merancang segalanya seawal tahun 60an, iaitu penipuan yang “terancang dan teliti” melalui “Gagasan Malaysia”, sehingga kemuncaknya bermula pada tahun 1963, kemudian semakin jelas pada tahun 1976. Aspek-aspek perundangan dan jaminan-jaminan hak dan kuasa Sabah dan Sarawak dalam ‘Persekutuan Malaysia’ satu persatu telah dihakis, dipinda atau dimansuhkan oleh ‘Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya’ melalui pemimpin dan kerajaan proksi dan boneka di Sabah dan Sarawak. Bagi Negara Sabah, tahun 1976 merupakan “Tahun Yang Sangat Malang”, kerana tiga peristiwa penting berlaku tanpa sebarang kemampuan daripada pemimpin dan rakyat Sabah untuk menghalangnya.

Tiga peristiwa tersebut adalah:

i) Pada 06. 06. 1976 “Tragedi Double Six”, iaitu Nahas Kapal Nomad yang dinaiki oleh pemimpin utama Kabinet Negara Sabah telah meletup di udara! Hasil forensiknya ada dan masih tersimpan di tangan kerajaan Australia sehingga hari ini. Tetapi kes ini telah sengaja dirahsiakan malah ditutup ketat dengan kanun ‘Akta Hasutan’ dan I.S.A.

ii) 14. 06. 1976, hasil minyak Sabah sebanyak 95% telah diserahkan kepada “Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya” melalui syarikatnya Petronas, dan selebihnya 5% dengan penuh bangga dan bersyukur Sabah/Sarawak menikmatinya.

iii) Pada 27. 08. 1976, Negara Sabah telah diturunkan status ”Negara” kepada taraf “Negeri”. Maka sejak itu, kedua negara ini, iaitu Negara Sabah & Negara Sarawak adalah sama taraf dan haknya dengan 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Malayu! Maka relevanlah “Perlembagaan Persekutuan Tanah Malayu” yang dibuat pada tahun 1957 untuk semua negeri, tanpa ada “Perlembagaan Khas” yang dibuat selepas Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Selepas “Tragedi Double Six”, adapun sebilangan pemimpin dan rakyat Sabah yang sedar dan faham akan penjajahan Malaya, namun mereka hanya mampu berputih mata, membiarkan ‘Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya’ menjajah Sabah dan Sarawak. Kerana mahu menyelamatkan kedudukan parti dan kedudukan jawatan, mereka mengambil sikap berdiam diri. Mereka membisukan mulut mereka yang tidak bisu, membutakan mata mereka yang tidak buta, memekakkan telinga mereka yang tidak pekak, dan menjahilkan minda mereka yang tidak jahil!

Mereka sanggup diperalat dan dieksploitasi, dijadikan perkakas politik ‘Kepimpinan BN-UMNO Malaya’. Mereka sanggup menjadi Pak Bisu, Pak Angguk, Pak Unta dan Pak Hamba kepada ‘Kepimpinan BN-UMNO Malaya’. Bahkan mereka sanggup mengkhianati bangsa sendiri dengan pelbagai cara yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun seperti melucutkan jawatan, mendiskriminasi bantuan-bantuan dan tidak memberi apa-apa projek pembangunan di kawasan yang berkenaan.

Sebaliknya, sepanjang masa mereka bersekongkol dengan Rejim BN-UMNO untuk menjajah Sabah dan Sarawak. Mereka merampas tanah-tanah kampung dan tanah-tanah NCR milik masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak. Mereka merasuah rakyat dengan material-material yang tidak dapat mengubah taraf hidup seperti tangki biru dan BR1M! Dan paling malang, mereka turut memanipulasi dan menafikan kebenaran fakta sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak. Semua ini berlaku kerana sistem nilai dan paradigma mereka melihat bahawa nilai “wang ringgit”, “kuasa” dan “kedudukan jawatan” lebih besar daripada nilai “sebuah kebenaran”!

Bermula 16 September 1963 dan sehingga kini (2014), Sabah dan Sarawak telah mengalami banyak kerosakan! Kerosakan pada sistem politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan, demografi, tanah dan khazanah warisan Sabah dan Sarawak! Kerosakan pada aspek keselamatan, kedaulatan, dan kuasa kemerdekaan Sabah dan Sarawak!

Sabah terutamanya, telah dibebani dengan seribu satu macam masalah! Masalah kebanjiran Warga Asing/ PTI, Projek IC, Projek Kewarganegaraan Songsang, Projek Pengundi Hantu, Projek Pengundi Disewa beli, Projek Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya, dan yang terbaru “Projek Sijil Lahir”! Sabah dan Sarawak juga dibebani dengan masalah kemiskinan dan kemunduran melampau! Dalam tempoh 51 tahun, masih banyak tempat di Sabah dan Sarawak yang tidak ada bekalan elektrik, bekalan air bersih, sistem perhubungan jalan raya dan perumahan rakyat yang serba daif dan usang! Bangunan-bangunan sekolah, rumah guru dan klinik desa yang daif dan usang! Hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry –RCI) berkaitan “Projek IC” dan “Kebanjiran Warga Asing/ PTI” juga belum didedahkan kepada rakyat!

Sumber kekayaan Sabah dan Sarawak seperti minyak, gas dan hasil-hasil cukai tahunan Sabah dan Sarawak diangkut ke Malaya! Tanah-tanah pertanian yang luas, rata dan subur di Sabah dan Sarawak telah habis diteroka dan dihakmilikkan kepada syarikat-syarikat kapitalis dari Malaya! Tanah-tanah perkampungan dan tanah-tanah NCR milik masyarakat peribumi dirampas oleh syarikat-syarikat kapitalis dari Malaya! Sementara masyarakat peribumi dihalau dan menjadi pelarian di bumi sendiri! Rumah, tanam-tanaman dan kuburan milik masyarakat peribumi diradu dengan jentolak!

Peluang-peluang pekerjaan dan perjawatan di jabatan dan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak dikuasai dan dimonopoli pegawai dari Malaya! Peluang-peluang pekerjaan dan perjawatan di sektor swasta seperti perkilangan, perladangan, syarikat, pusat membeli belah, stesen minyak , perikanan, pasar, tapak binaan dan sebagainya dikuasai Warga Asing/ PTI! Tender-tender projek mega dikuasai dan dimonopoli oleh kontraktor-kontraktor pemimpin-pemimpin dan kroni BN-UMNO!

Kenaikan harga bahan api (minyak dan gas), telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan, kos barangan dan perkhidmatan, serta kenaikan kos sara hidup! Kenaikan dalam kos pengangkutan, barangan, perkhidmatan dan kos sara hidup yang tinggi di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan Dasar Kabotaj (Carbotage Policy) Malaya yang dipaksakan ke atas Sabah dan Sarawak! Kini "Kerajaan BN-UMNO" menjerut leher rakyat lagi dengan cukai GST!

Kos pengangkutan, kos barangan, kos perkhidmatan dan kos sara hidup yang tinggi serta kedaifan sistem pengangkutan di Sabah dan Sarawak telah menyebabkan pelabur tempatan dan pelabur dari luar negara tidak berminat dan enggan melabur di Sabah dan Sarawak! Justeru, projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak adalah projek-projek pembangunan ikan bilis yang tidak membawa impak kepada proses urbanisasi dan pembandaran mega berbanding di Malaya.

Sebab itu, selain faktor penjajahan politik dan penjajahan ekonomi (pengaliran sumber-sumber kekayaan Sabah dan Sarawak ke Malaya), faktor kos yang berpunca daripada Dasar Kabotaj (Carbotage Policy) ini telah menyebabkan tahap pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 51 tahun, sangat perlahan dan agak terencat!

Keadaan keselamatan di Sabah juga amat membimbangkan! Kebanjiran lebih 1.72 juta Warga Asing/ PTI di Sabah (Statistik penduduk Sabah 2006-2010) telah mengatasi populasi warga tulen Sabah yang baru berjumlah 1.5 juta. Dianggarkan lebih 1 juta daripada Warga Asing/ PTI ini telahpun memiliki dokumen MyKad dan berdaftar sebagai pengundi! Kebanjiran Warga Asing/ PTI ini bukan sahaja telah mengubah demografi, landskap politik, landskap ekonomi, landskap sosiobudaya, tetapi telah mengancam keselamatan dan seterusnya telah meletakkan Sabah dalam situasi pengambilalihan songsang kedaulatan (Reverse takeover) yang amat kritikal! Kebanjiran Warga Asing/PTI yang tidak berkesudahan di Sabah umpama penularan penyakit barah (kanser) yang tidak akan dapat diubati lagi. Kebanjiran Warga Asing/ PTI ke Sabah umpama api dalam sekam, membakar Sabah dan rakyat Sabah perlahan-lahan!

Justeru, untuk menyelesaikan masalah-masalah di atas, Sabah dan Sarawak perlu mengembalikan semula status “Negara” yang telah dilucutkan oleh “Kepimpinan Kerajaan Pusat Malaya”! Sabah dan Sarawak mesti mengembalikan kuasa kemerdekaan yang telah hilang! Rakyat Sabah dan Sarawak mesti mengurus dan menentukan sendiri sistem politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan agenda pembangunannya sendiri! Justeru, ‘Kepimpinan Sabah dan Sarawak’ mesti membawa kes kedudukan Sabah dan Sarawak ini ke Mahkamah Antarabangsa dan PBB!

Sabah dan Sarawak memerlukan sumber manusia (insan) kelas pertama yang berjiwa bebas dan merdeka! Berjiwa pahlawan, memilki keberanian, nasionalisme, jati diri dan daya saing dalam pentas dunia globalisasi! Rakyat Sabah dan Sarawak mesti menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran tahap tinggi, menguasai sains dan teknologi, falsafah, undang-undang serta peradaban dunia antarabangsa. Rakyat Sabah mesti menguasai ekonomi dengan mempelajari dunia perniagaan dan perdagangan. Rakyat Sabah mesti menguasai ilmu kesenian, warisan kebudayaan dan khazanah alam.

Rakyat Sabah mesti membina budaya dan etika kerja berimpak tinggi, dengan disiplin, kejujuran, amanah, tanggungjawab dan integriti tahap tinggi. Rakyat Sabah dan Sarawak mesti mengubah dan mentransformasi cara berfikir untuk menghasilkan lebih banyak penerokaan dan inovasi dalam pengurusan dan kepemimpinan, serta rekacipta baru yang membawa impak kepada pembangunan dan kemajuan Sabah dan Sarawak.

Dan untuk kekal relevan dalam peta dunia, Sabah dan Sarawak perlu berani berubah dan mengubah! Sabah dan Sarawak perlu memasuki era baru yang dipanggil “Era Rennaissance Sabah-Sarawak”, “Era Reformasi dan Transformasi Sabah dan Sarawak”, “Era Revolusi Perindustrian Sabah dan Sarawak”, “Era Digital Sabah dan Sarawak”, dan “Era Revolusi Minda Sabah dan Sarawak”!